RSS Feeds

Sabtu, 29 Januari 2011

Menziarahi Kubur Di Riyadh


Selesaikan dikebumikan diperkuburan Ummu Hamam Riyadh

Saya keluar sebelum asar petang jumaat 28 Jan bersama 2 orang teman arab Yaman. Selepas menurunkan rakan sekelas saya bernama Umar Ba Matrof saya menuju ke Ummu Hamam bersama Ausan yang akan pulang menaiki bas ke Yaman pada malam ini. Perjalanan melalui darat itu mengambil masa 25 Jam. Semoga Allah memelihara beliau daripada segala keburukan.


Saya terus menuju ke Masjid Jami' Khalid Ummu Hamam. Jam menunjukkan 3.00 pm, hanya berbaki 15 minit sahaja sebelum masuk waktu asar. Selepas azan dan solat berjemaah, kami menunaikan solat jenazah. Yang menarik perhatian saya, keadaan jenazah perempuan itu yang kakinya kelihatan bengkok. Saya tertanya-tanya dan tergerak hati untuk mengiringi jenazah ke perkuburan. Saya mengambil kasut dan berlari-lari anak untuk mengekori jenazah yang sudah akak jauh diusung orang ramai. Akhirnya selepas melangkah kaki sekitar 800 miter saya sampai ke perkuburan. Al-hamdulillah saya teringatkan hadis Nabi sepanjang berjalan menuju ke perkuburan itu yang bermaksud;


"Sesiapa yang menunaikan solat jenazah maka baginya Qirat dan sesiapa yang mengiringi jenazah baginya 2 Qirat. Nabi ditanya apakah itu Qirat Ya Rasulullah? Nabi menjawab; Bukit Uhud".


Semoga saya tidak diharamkan daripada mendapat pahala sebesar 2 bukit Uhud itu. Semoga Allah merahmati jenazah dan ahli kubur yang telah bersemadi di perkuburan itu. "Jikalau terdapat seseorang yang selamat daripada fitnah kubur sudah pasti Sa'ad Radiyallahu Anhu adalah orangnya". Saya hanya memandang jenazah dimasukkan ke dalam liang lahat. Terkenang saya kepada kematian seorang teman yang sama-sama graduit daripada University Islam Madinah pada tahun 2007. Akibat kemalangan teruk maka akhi Abdul Aziz telah meninggal dunia di Mekah. Dalam perjalanan dengan pakaian ehram itu, dan hanya berbaki 2 minggu sahaja untuk beliau pulang ke Malaysia bertemu bapanya yang dikasihi. Untungnya akhir hanyatmu Wahai teman. Tatkala lidahmu sedang bertalbiah dan bertahmid kepada Allah.


Beliau menjadi teman saya ketika melancong ke Mesir pada tahun 2004 dan kami sama-sama melancong 3 negeri Syam (Jordan, Syiria dan Lubnan). Akhirnya jenazah beliau disolatkan pada subuh Jumaat di masjidil Haram dan dikebumikan diperkuburan Ma'la. Itulah pertama kali saya memasuki perkuburan Ma'la yang saya kira agak unik itu. Hanya berbentuk bilik yang bersimen kemudian diatasnya diletakkan batu besar sebelum dikambus dengan sedikit tanah sahaja. Maka tinggallah mayat keseorangan didalam bilik gelap itu. Semoga Allah mengampuni Abdul Aziz dan merahmati ruhnya. Amin.

Kira-kira 10 minit sahaja, lahat itu sudah ditutupi dengan batu-batu blok besar yang dikemudiannya diselaputi oleh tanah liat, dan selepas itu dikambus kubur wanita tadi. Saya hanya melihat sahaja dari dekat. Selesai dikebumikan, masing berdiri menghadap kiblat dan berdoa untuk keampunan si mati. Saya masih terpaku pada kuburan itu, dan mata saya beralih memandang ke sebelah perkuburan itu, terdapat kubur yang sudah siap digali. Giliran siapakah selepas ini? Suatu masa saya juga akan berada didalam kuburan yang tidak saya ketahui dimanakah ianya. Suatu masa saya juga akan merasai kegelapan alam kubur dan ketakutan berada didalamnya. Suatu masa saya juga akan bertemu dengan malaikat munkar dan nakir yang akan bertanyakan soalan-soalan yang telah saya hafal. Akan tetapi jawapan yang juga telah saya hafal itu tidak akan dijawap kecuali oleh amalan-amalan baik saya.


Saya lihat jenazah selamat dikebumikan dengan begitu pantas sekali. Orang-orang ramai mula beransur pulang. Saya berjalan sambil melihat perkuburan sambil mendoakan dengan doa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad. Akhirnya saya menitiskan air mata, saya kesedihan mengenangkan insan-insan rapat yang telah meninggalkan saya. Benarlah kata-kata nabi bahawa;


"Dulu aku pernah melarang kamu daripada menziarahi kubur, maka sekarang pergilah menziarahi kubur, sesungguhnya ianya mengingatkan kepada hari akhirat".


Nabi sering berdoa selepas selesai membaca bacaan tahiyyat akhirnya dengan doa seperti dalam hadis riwayat Imam Bukhari.

"اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَفِتْنَةِ الْمَمَاتِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ"


1 comments:

Abu Mubarak berkata...

Salam. Tentang arwah akh Aziz, ana tidak rapat dengan beliau,dan kami jarang bertemu, cuma ketika beberapa hari sebelum beliau meninggal dunia, kami sering terserempak, setelah beliau pulang dari menyertai daurah ilmiah, ana beberapa kali terserempak dengan beliau di halaqah Syeikh Abd Muhsin Al-Abbad, di masjid nabawi, kemudian terserempak pula ketika hendak ke masjid, ketika dalam masjid, ketika pulang, ketika solat jumaat di masjid Amir Sultan,kemudian terserempak lagi ketika beliau memanggil seorang pekerja bangunan berbangsa mesir untuk memboncengi motosikal beliau, dan berkali-kali terserempak di Jameáh, sehingga ana berkata pada diri sendiri "dalam masa beberapa hari ini, aku jumpa dengan orang ni lebih banyak jumlahnya dari masa bertahun-tahun kami bersama, tiap-tiap kali jumpa pasti di tempat yang baik atau terlihat kebaikan dia", kemudian kami agak rapat sehari sebelum beliau ke Mekah, rupa-rupanya itulah kali terakhir pertemuan kami...sekadar nak berkongsi cerita

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...